RTP online
Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Peningkatan kes positif harian COVID-19 di Pahang, khususnya di daerah Kuantan, membimbangkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang.
Pengarahnya, Dato’ Dr Bahari Che Awang Ngah berkata, sehingga semalam, sebanyak 8,649 kes direkodkan di Pahang, termasuk 1,002 kes dilaporkan di Kuantan.
Katanya, bandar raya ini merekodkan peningkatan kes yang konsisten bermula pertengahan Mac lalu sehingga sekarang.
“Pada awal Mac lalu, kurang daripada 10 kes sehari dilaporkan namun meningkat kepada purata 80 hingga 100 kes sehari bermula 14 Mei lalu.
“Kebanyakan kes berpunca daripada kluster aktif sedia ada di daerah Kuantan serta kontak rapat kes yang turut menunjukkan peningkatan kes bergejala hampir sekali ganda berbanding sebelum ini.
“Kes bergejala ini berpotensi untuk menjangkiti lebih ramai orang disebabkan kadar keberjangkitan yang tinggi terutama jika kes lambat dikesan dan dikuarantin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dr Bahari berkata, setakat ini, hampir semua lokaliti di daerah Kuantan mempunyai kes aktif yang menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan
bagi membendung penularan jangkitan sebelum menjadi lebih tidak terkawal.
Katanya, jumlah pesakit di hospital juga meningkat lima kali ganda dalam tempoh sebulan sehingga pihaknya terpaksa menambah prasarana dan melakukan mobilisasi kakitangan bagi merawat bilangan pesakit yang meningkat.
“Jika keadaan berterusan, dibimbangi kakitangan kesihatan sedia ada tidak cukup untuk memberikan perkhidmatan kepada pesakit.
“Namun, saya yakin pelaksanaan PKPD di Kuantan akan berjaya mengurangkan kes jika semua masyarakat mematuhi arahan kawalan pergerakan,” katanya.
Beliau berkata, semua penduduk perlulah mengehadkan pergerakan melainkan jika perlu dan mengamalkan kuarantin kendiri.
“Jika bergejala, segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk ujian saringan pengesanan COVID-19.
“Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dapat mengurangkan jumlah kes seterusnya PKPD akan dapat ditamatkan seperti yang dirancang,” katanya.