Cubaan pindah balak bernilai RM26,000 gagal

Cubaan pindah balak bernilai RM26,000 gagal

LIPIS: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis mematahkan cubaan memindahkan 43 tual balak bernilai RM26,000 secara dari hutan tanah kerajaan di Kampung Kemuning, Berchang Baru Mukim Telang, di sini, semalam.

Pegawai Hutan Daerah Lipis, Mohd Aizat Arippin berkata, pihaknya melakukan serbuan selepas mendapat maklumat daripada penduduk setempat yang mendakwa terdapat aktiviti pembalakan tanpa lesen di kawasan terbabit.

Menurutnya, anggota Unit Penguatkuasa PHD Lipis bergegas ke lokasi bagi membuat semakan dan terbukti terdapat kegiatan menebang balak secara haram dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, pemeriksaan dalam kawasan terbabit menemui beberapa longgok tual balak pelbagai spesies dan saiz yang dipercayai menunggu masa untuk dipindahkan.

“Ketika serbuan, kita tidak menemui individu yang terbabit melakukan kegiatan itu dan jentera digunakan. Mungkin mereka sempat menghidu kehadiran anggota penguatkuasa dan meninggalkan kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan kita menemui sebanyak 43 tual balak pelbagai spesies antaranya Sesenduk, Kempas, Keladan, Kedondong, Kelat, Tinjau Belukar dan Putat,” katanya, di sini hari ini. – MOHD IMRAN IZZAD.