Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Empat puluh enam pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Tunas Sri Teruntum, masing-masing menerima suntikan vaksin Covid-19, pada program vaksinasi khas golongan istimewa, di sini.

Selain 46 pelatih antara 18 hingga 36 tahun, turut menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac adalah 12 petugas pusat berkenaan.
Penyelia PPDK Tunas Sri Teruntum, Noraishikin Alias, 47, berkata pelbagai ragam dapat dilihat sepanjang program berkenaan.
Menurutnya, urusetia terpaksa memegang lima pelatih dewasa yang terlalu takut melihat jarum.
Katanya, seorang daripada pelatih itu mendakwa dia geli melihat jarum menyebabkannya terlalu takut.

Bagaimanapun, katanya, selepas dipujuk akhirnya dia selamat menerima suntikan.
“Program dos kedua akan dilaksanakan pada 27 Julai ini. Saya bersyukur program vaksinasi khas golongan istimewa lancar dan tiada banyak masalah,” katanya.

Pelatih yang cacat fizikal sejak lahir, Mohd Shahril Alias, 36 berkata suntikan tidak sakit walaupun sebelum itu dia takut melihat jarum.
“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang tidak pernah meminggirkan golongan orang kurang upaya (OKU) seperti kami,” katanya.