Cuma satu PPS masih dibuka di Pahang

Cuma satu PPS masih dibuka di Pahang

KUANTAN: Hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Pahang iaitu di Pekan yang menempatkan 61 mangsa daripada 12 keluarga setakat jam 12 tengah hari ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, semua mangsa banjir kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan Temai, Pekan.

Semalam, PPS di Rompin dan Maran ditutup sepenuhnya selepas banjir di dua daerah berkenaan pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Jabatan Mateorologi Malaysia memaklumkan angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang sehingga 16 Januari ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN