KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang bersiap sedia sekiranya berlaku banjir pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Justeru, pengarah JBPM negeri, Dato’ Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata sekurang-kurangnya 982 anggota daripada 28 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) akan ditugaskan.
Bagi menghadapi tengkujuh, katanya, jabatan itu akan menggerakkan semua anggota yang bukan sahaja di bahagian operasi, malah yang bekerja di pejabat.
“Berkuatkuasa esok, jabatan mengarahkan pembekuan cuti kepada semua anggota sebagai persediaan,” katanya.
Wan Mohammad Zaidi ditemui media selepas Majlis Taklimat Latihan Kursus Asas Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 2/2022 dan Penyerahan Geran Pasukan Bomba dan Sukarela (PBS) JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN