Daftar ebanjir.gov.my sebelum hantar bantuan banjir

Daftar ebanjir.gov.my sebelum hantar bantuan banjir

Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang membenarkan penghantaran misi bantuan bencana kemanusiaan dari luar Pahang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun, penghantaran bantuan itu perlu mendapat kelulusan menerusi sistem ebanjir.pahang.gov.my dan kebenaran rentas negeri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, pusat penghantaran bantuan yang ditetapkan ialah di Bentong, Rompin dan Kuantan.
“Pengagihan bantuan akan dilaksanakan oleh Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) negeri dan daerah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pergerakan rentas daerah bagi badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan Pahang dibenarkan untuk kerja gotong-royong pasca banjir di daerah yang memerlukan sahaja.
Katanya, jumlah sukarelawan dibenarkan ialah seramai 10 hingga 15 orang sahaja bagi satu NGO atau agensi.
“Permohonan perlu dibuat melalui ebanjir.pahang.gov.my dan kebenaran rentas daerah daripada PDRM,” katanya.
Sepanjang tempoh PKP, beliau berkata, restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi bermula dari 6 pagi hingga 10 malam..
Katanya, aktiviti penjualan dan pembekalan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran.
“Bagi penghantar persendirian, mereka perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Stesen minyak boleh beroperasi bermula 6 pagi hingga 10 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya yang dibenarkan beroperasi 24 jam,” katanya.