KUANTAN: Nombor pendaftaran plat khas Universiti Malaysia Pahang (UMP) iaitu UC boleh dibida bermula 1 hingga 14 Februari ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah Urusan UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, berkata proses bidaan boleh dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal.
Katanya, bagi kakitangan dan penuntut UMP pula, mereka berpeluang mendapat harga istimewa.
“Yayasan UMP mensasarkan penjualan siri nombor pendaftaran mampu mencecah sehingga RM3.5 juta bagi fasa pertama dengan proses bidaan itu dikendalikan syarikat yang dilantik iaitu Aquatwo Sdn Bhd. Huruf U adalah awalan perkataan UMP manakala C adalah Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan nombor plat khas UC di UMP Gambang, di sini, hari ini. Turut hadir, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan Pengarah Urusan Aquatwo Sdn Bhd, Datin Nabiha Mustapha.
Abdul Aziz berkata, penjualan itu bermula susulan hasrat dan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mahukan semua universiti awam untuk menjana pendapatan sendiri.
“Ia adalah sebahagian usaha Yayasan UMP meningkatkan sumber pendapatan dan hasilnya nanti akan disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat penuntut dan golongan memerlukan,” katanya.
Boleh melayari laman sesawang http://www.ucplat.com.my bagi mengikuti perkembangan untuk membida nombor pendaftaran UC, bermula 1-14 Februari ini..- MUHAMMAD IZZ ZAHIN