Dah boleh tarawih 20 rakaat, iftar, moreh

Dah boleh tarawih 20 rakaat, iftar, moreh

KUANTAN: Kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Task Force Covid-19 Pahang memberi kebenaran solat tarawih 20 rakaat di masjid dan surau di seluruh Pahang sepanjang Ramadan ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penganjuran majlis berbuka puasa, moreh dan sahur turut dibenarkan.

Katanya, selain itu program penghayatan ibadah sepanjang Ramadan seperti qiamullail dan tadarus al-Quran juga dibenarkan.

“Selain itu, kerajaan negeri turut memberi kebenaran bagi pengoperasian dan aktiviti Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri sepanjang Ramadan tahun ini.

“Waktu perniagaan aktiviti Pasar Ramadan bermula dari 3 petang hingga 8 malam manakala aktiviti Bazar Aidilfitri pula dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada ketetapan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy berkata, semua peniaga, pekerja dan pelanggan hendaklah mempunyai status lengkap vaksinasi.

Katanya, golongan yang berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas berusia 70 tahun dan ke atas adalah tidak digalakkan untuk mengunjungi Pasar Ramadan dan Bazar Aidil Fitri.

“Dalam pada itu, semua peniaga digalakkan untuk menyediakan dan menawarkan kaedah alternatif bayaran tanpa tunai atau `cashless’.

“Ini bagi mempercepatkan masa, mengurangkan sentuhan dan mengelakkan kesesakan berlaku di tapak jualan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN