JERANTUT: Tok Batin Kampung Paya Petai dan Kampung Machang yang sebelum ini enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akhirnya mengalah dan bersetuju untuk divaksinasi, hari ini.
“Malu juga saya sebab kampung Orang Asli lain sudah menerima vaksin walaupun jauh di pedalaman Ulu Tembeling. Sebenar kami takut akan kesan sampingan sehingga kami tak boleh lagi masuk hutan mencari rezeki.
“Tetapi, apabila tanya dengan rakan di kampung lain tiada apa-apa kesan, saya dan anak buah bersetuju untuk mendapatkan suntikan vaksin,” kata Tok Batin Paya Petai, Razali Rengai, 54.
Razali berkata, apabila penduduk kampung melihat sendiri beliau menerima vaksin dan sihat, ia akan menambahkan keyakinan penduduk di desanya bahawa vaksin adalah selamat.
Tok Batin Kampung Machang, Teh Chengal, 62, pula berkata, beliau tidak berasa sakit selepas menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Dah dua jam dah saya kena cucuk. Tak rasa apa-apa pun. Biasa je,” katanya sambil memberi kata semangat kepada anak buahnya yang sedang menunggu giliran untuk disuntik.
Kampung Paya Petai dan kampung Machang yang penduduknya terdiri daripada suku Semoqberi adalah perkampungan Orang Asli terakhir melalui proses vaksinasi Covid-19.
Sekurang-kurangnya 79 warga Orang Asli Paya Petai dan Kampung Machang hadir untuk menerima suntikan vaksin jenis Cansino dan Pfizer.
Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut, Dr Amir Faisal Mohd Khairi berkata, sambutan terhadap Program Imunisasi COVID Kebangsaan (PICK) di Jerantut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ketiga-tiga suku kaum Orang Asli iaitu Bateq, Semoqberi dan Jahut.
Dr Amir Faisal berkata, Program Turun Padang mendapat kerjasama Malaysia Health Diplomacy Society dan Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, yang turut sama memberi sumbangan 100 pek bantuan makanan dan 50 pek peralatan sekolah.
Selain itu, 15 sukarelawan daripada Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Universiti Malaya dan Malaysian 4-Wheelers turut membuat promosi kesihatan pemakanan dan kebersihan di kalangan kanak-kanak. – MUHAMMAD NAJMIE