Dah dapat biasiswa ni, aokmer belajorlah leklok yek

Dah dapat biasiswa ni, aokmer belajorlah leklok yek

CAMERON HIGHLANDS: Seramai 392 murid dan pelajar sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai serta Tanah Rata, menerima bantuan biasiswa daripada Kerajaan Pahang, hari ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia membabitkan Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) dengan bantuan RM300 setahun dan Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) sebanyak RM600 setahun.

“Pendidikan adalah bidang yang sentiasa diberi tumpuan utama Kerajaan Pahang.

“Antara hasrat saya selaku Menteri Besar, adalah untuk melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan dan berkemahiran selain matang serta seimbang.

“Hari ini, saya menyampaikan Biasiswa BSR dan BSM kepada 392 murid dari DUN Jelai dan DUN Tanah Rata bagi memulakan sesi baru persekolahan baru tidak berapa lama lagi,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Pada majlis sama, beliau juga menyampaikan bantuan di bawah inisiatif Pahang Pride Student.

“Pahang Pride Student adalah inisiatif terbaru Kerajaan Pahang bagi membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana untuk mempersiapkan anak-anak mereka bagi memulakan sesi awal persekolahan.

“Kepada Yayasan Pahang, tahniah dah terima kasih saya ucapkan kerana telah berusah untuk menjayakan program petang ini,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN