Dah dekat 40,000 mangsa banjir di Pahang hari ni

Dah dekat 40,000 mangsa banjir di Pahang hari ni

KUANTAN: Meskipun cuaca baik dua hari berturut-turut, jumlah mangsa banjir di Pahang masih bertambah dengan bilangan terkini mencecah 39,796 mangsa daripada 10,776 keluarga yang ditempatkan di 280 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga jam 12 tengah hari.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman, berkata Kuantan mencatatkan bilangan paling ramai iaitu 21,720 mangsa daripada 5,700 keluarga dan kini ditempatkan di 67 PPS.

“Ia diikuti Temerloh membabitkan bilangan mangsa sebanyak 8,777 daripada 2,463 keluarga di 70 PPS; Lipis (2,084 mangsa/639 keluarga) di 35 PPS; Jerantut (1,870 mangsa/514 keluarga) di 31 PPS dan Raub (1,805 mangsa/516 keluarga) di 30 PPS.

“Pekan pula (1,178 mangsa/313 keluarga) di 14 PPS; Bentong (1,095 mangsa/284 keluarga) di satu PPS; Bera (912 mangsa/260 keluarga) di 16 PPS manakala Maran (355 mangsa/87 keluarga) di 16 PPS,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak lapan laluan di Kuantan ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan – Endau, Jalan Air Hitam – Kg Teluk Mahang, Jalan Paching Utara, Jalan Kuala Lumpur – Kuantan, Jalan Bukit Rangin 3, Jalan Bukit Rangin Perdana 2 dan Jalan Pandan Damai 1.

“Di Jerantut juga sebanyak lapan jalan ditutup iaitu Jalan Link Kota Gelanggi, Simpang Batu Embun-Sempadan Kuala Lipis, Simpang Batu Embun, Jalan Bukit Puas – Gintong, Jalan Pulau Tawar – Durian Hijau, Jalan Sungai Lekok – Jeransong, Jalan Ulu Retang – Merting dan Jalan Sg Yap – Pasir Tambang.

“Jalan ditutup di Temerloh pula ialah Jalan KL – Kuantan, Jalan Gemas – Temerloh, Jalan Temerloh – Mentakab dan Jalan Kg Lipat Kajang; Jalan Karak – Simpang Pelangai dan Jalan Utama Mempaga (Bentong); Jalan Bukit Kota – Aur Gading dan Kuala Lipis – Jerantut (Lipis); Jalan Utama Jengka Utara/Selatan (Maran) dan Jalan Sengkela – Chenua di Raub,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN