Dah lah terima geran hakmilik tanah, 643 peserta RTK dapat ‘duit raya’ pula

Dah lah terima geran hakmilik tanah, 643 peserta RTK dapat ‘duit raya’ pula

Oleh Helmy Abd Rahman dan Izzah Yussof

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Mustaffa Kamal

PEKAN: Dua berita gembira dalam sehari.

  Itu yang dirasai 643 peserta Rancangan Tanah Kelompok (RTK) di daerah ini apabila bukan sahaja menerima suratan hak milik, malah bakal dapat ‘duit raya’ sebanyak RM500 seorang sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

  Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Dato’ Sri Utama Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap sebelum menyempurnakan Majlis Penyerahan Suratan Hak Milik RTK Serambi, Padang Rumbia dan Pulau Rumput di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini.

PEKAN 02 APRIL 2021. Menteri Besar Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail berucap dan merasmikan Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) DUN Bebar di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

  “Ini bermakna semua peserta FELCRA dalam kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) Bebar bukan sahaja menerima satu berita gembira dengan menerima suratan hak milik masing-masing hari ini, bahkan pihak FELCRA juga bersetuju untuk memberikan duit raya untuk mereka.

  “Semua ini dapat dilaksanakan apabila kita mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan kerajaan negeri yang stabil dan akhirnya setiap apa yang kerajaan dapat, kita boleh kembalikan semula kepada rakyat,” katanya.

  Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengurus Besar FELCRA Berhad Wilayah Pahang, Nor Zahari Zakaria.

  Pada majlis itu, seramai 470 daripada 643 peserta FELCRA menerima suratan hak milik mereka dan bakinya akan menerima suratan hak milik masing-masing secara berperingkat.

  “Untuk hari ini, kita serahkan dahulu kepada 470 peserta dari RTK Serambi, Padang Rumbia dan Pulau Rumput manakala baki peserta yang lain akan menerima suratan hak milik pada 10 April ini yang dijadualkan disampaikan Ahli Parlimen Pekan (Dato’ Seri Najib Razak).

  “Saya juga difahamkan kebanyakan peserta FELCRA ini sudah menanti 14 tahun untuk mendapatkan suratan hak milik dan kita harap dengan majlis penyerahan ini dapat melegakan hati mereka,” katanya.