KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di Pahang kini mencecah kepada 32,682 daripada lebih 8,700 keluarga dan kini ditempatkan di 255 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini, setakat jam 4 petang hari ini.
Peningkatan itu berlaku meskipun keadaan cuaca baik sejak pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding petang Ahad iaitu 12,631 orang daripada 3,549 keluarga yang ditempatkan di 180 PPS.
“Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 18,207 mangsa daripada 4,740 keluarga diikuti Temerloh yang mencatatkan 5,281 mangsa daripada 1,361 keluarga.
“Lipis dan Raub pula masing-masing mencatatkan hampir 2,000 mangsa, manakala Jerantut (1,800 mangsa), Pekan (1,150 mangsa), Bentong (1,044 mangsa), Maran (697 mangsa) dan Bera (287 mangsa),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media di sini, hari ini. – HELMY ABD RAHMAN