Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
LIPIS: Sepuluh individu, termasuk tiga wanita warga Vietnam ditahan ketika berjudi dalam semak di Kampung Baru Penjom, Kuala Lipis, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mereka yang berumur antara 31 dan 73 tahun ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis, pada 6.20 petang.
Katanya, penahanan 10 individu terbabit hasil `Ops Dadu’ berdasarkan maklumat orang awam mengenai kegiatan perjudian di dalam semak di kampung itu.
“Polis turut merampas RM2,539 tunai dipercayai wang pertaruhan dan perlatan yang digunakan untuk berjudi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azli berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya.
“Semua suspek, masing-masing turut dikompaun RM1,500 seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kompuan itu dikeluarkan kerana didapati tiada penjarakan fizikal dan berkumpul mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2021,” katanya.