Dalamkan semua sungai di Pahang, titah Pemangku Raja Pahang 

Dalamkan semua sungai di Pahang, titah Pemangku Raja Pahang 

KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar disegerakan kerja membersih dan mendalamkan sungai di Janda Baik, Bentong.

Titah baginda Kerajaan Pahang dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) diminta menyegerakan pelaksanaan kerja membersih itu.

“Selain itu, pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong perlu juga disegerakan. 

“Turut perlu disegerakan ialah Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong, termasuklah pembinaan Stesen Telemetri dan Stesen Amaran Banjir di huluan kawasan Janda Baik,” titahnya dalam kenyataan media, hari ini.

Baginda bertitah, Pahang dilanda banjir dua kali iaitu pada awal 2022 dan akhir tahun lalu di samping beberapa kejadian banjir kilat disebabkan hujan yang amat lebat.

“Oleh itu, kerja membersih dan mendalamkan sungai ini juga perlu dilakukan di semua sungai dan saliran yang sudah cetek dan banyak mendapan di seluruh negeri akibat

kejadian banjir terbabit.

“Saya titah agar pelaksanaan -kerja pembersihan semua sungai dan saliran terbabit mesti dilaksanakan segera oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sebelum negara memasuki musim Monsun Timur Laut pada hujung tahun ini,” titahnya. 

Semalam, baginda berkenan mencemar duli menziarahi mangsa banjir di kawasan Janda Baik, termasuk menghulurkan sumbangan, melawat kawasan banjir dan mendengar taklimat tindakan susulan segera bagi mengurangkan risiko banjir.

“Saya mengambil maklum bahawa hujan lebat luar biasa tiga jam di Bentong bermula pada kira-kira 4 pagi, 11 Mei lalu. 

“Hujan lebat itu mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan seperti di Kampung Janda Baik, Kampung Sum-Sum, Kampung Cheringin, Kampung Chemperoh, dan Kampung Lampin,” titahnya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN