JERANTUT: “Saya mempunyai lima pokok durian kampung premium Damak King yang berumur 33 tahun dan setiap tahun mengeluarkan hasil,” kata pekebun, Awang Ahmad Jusof, 73.
Dia yang memiliki kebun durian seluas 2.8 hektar di Kampung Damak, berkata, durian Damak King mendapat permintaan menggalakan daripada penggemar raja buah itu walaupun dijual dengan harga antara RM20 hingga RM25 sekilogram.
Menurutnya, durian jenis berkenaan dikatakan hanya terdapat di Jerantut dan buahnya mempunyai ciri-ciri seperti bulat, berat dua kilogram ke atas, isi berwarna oren dan tebal termasuk ulas yang banyak.
“Ramai penggemar durian yang datang ke Kampung Damak pasti akan mencari durian Damak King. Mereka akan menempah dengan saya beberapa hari sebelum datang.
“Durian Damak King antara durian kampung premium yang terdapat di Kampung Damak antaranya Naga Emas, Mas Kongo, Durian Akob dan Durian Katak,” katanya.
Beliau berkata, setiap tahun pegawai Jabatan Pertanian Negeri Pahang mengadakan lawatan ke kebun sambil memantau pokok durian Damak King. – MOHD IMRAN IZZAD