KUANTAN: Dapur Infaq Ummah menyediakan 700 juadah berbuka puasa percuma setiap hari sepanjang Ramadan ini untuk golongan memerlukan di daerah ini.
Sebanyak 150 juadah, masing-masing diberikan kepada komuniti Jalan Wong Ah Jang dan Lorong Pasar Besar manakala selebihnya diagihkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepada pelbagai pihak termasuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Setiausaha Dapur Infaq Ummah, Zahir Shah Zahid, berkata pihaknya menyediakan nasi dengan lauk berbeza setiap hari selain nasi lemak bersama ayam goreng beserta minuman.
Menurutnya, sukarelawan Dapur Infaq Ummah menghantar makanan kepada komuniti Jalan Wong Ah Jang dan Lorong Pasar Besar setiap hari bermula jam 6 petang.
“Agihan di kawasan lain dilakukan beberapa NGO yang berdaftar dengan Dapur Infaq Ummah dan makanan diambil di pusat operasi kami di Indera Mahkota.
“Terdapat 15 sukarelawan Dapur Infaq Ummah setiap hari yang menyediakan makanan, membungkus dan mengagihkan mulai jam 2 petang,” katanya, di sini, hari ini.
Katanya lagi, makanan turut diberikan kepada Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk dinikmati penuntut dan warga universiti itu.- MOHD IMRAN IZZAD.