Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar Fath Ahnaf
KUANTAN: “Bukan sahaja lambat, malah jika ada yang datang terlalu awal akan menyebabkan kesesakan,” kata Ketua Polis Daerah Kuantan, Asistan Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.
Beliau brkata demikian bagi mengingatkan penerima suntikan vaksin supaya datang mengikut waktu temu janji, bukan terlalu cepat atau lambat.
“Ada sesetengah yang hadir ke PPV (Pusat Pemberian Vaksin) terlalu awal daripada waktu sepatutnya sehingga boleh menyebabkan berlaku kesesakan di pusat terbabit.
“Berlaku kehadiran luar jangka apabila ada penerima vaksin yang datang tidak mengikut waktu temu janji mereka sehingga timbul situasi tidak cukup kerusi untuk menunggu.
“Sebenarnya kita sudah menyediakan kerusi yang banyak namun kehadiran penerima adalah diluar jangkaan apabila ada sebahagian mereka yang hadir tidak mengikut waktu temu janji yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui di PPV Wisma Belia di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang sukarelawan di PPV Wisma Belia Kuantan, Razif Mohamad, 38, berkata, hampir setiap hari ada sahaja penerima vaksin yang datang tidak mengikut waktu temu janji sehingga menyebabkan kesesakan di PPV itu.
“Ada yang mempunyai temu janji pada tengah hari tetapi datang pada waktu pagi sekali gus menyebabkan kesesakan di sini.
“Ia sedikit sebanyak mengganggu proses vaksinasi malah ada yang menyalahkan petugas atau sukarelawan apabila berlaku kelewatan ketika proses vaksinasi,” katanya.