JERANTUT: “Deme kena pindoh dari situ. Baru selamat daripada ancaman gajah. Deme duduk dalam kawasannya, tentulah datang ke tempat deme sekali-sekala,” kata Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris kepada Orang Asli Kampung Yong.
Beliau berkata demikian kepada penduduk kaum Bateq selepas menghantar bantuan tilam, bantal, selimut dan makanan kepada mereka, hari ini.
“Saya mencadangkan kepada mereka agar mereka berpindah ke tempat baru dan kerajaan akan membuat penempatan khas untuk mereka. Namun, mereka lebih senang di kawasan Taman Negara itu dengan alasan senang cari makan,” katanya.
Lima belas keluarga mewakili 75 penduduk terpaksa berpindah ke penempatan sementara di Tanjung Tekah, seberang Sungai Tembeling bagi menggelak diganggu gajah.
lagi.
Suku Bateq, di kampung Yong itu cemas apabila lapan rumah mereka roboh diserang gajah liar, minggu lalu.
Aswan Jamal, 48, berkata rumahnya bergegar dan beliau nampak gajah sedang menggoyangkan rumahnya, pada kira-kira 8 malam.
“Kami sekeluarga dan penduduk lain sempat melarikan diri ke kawasan tebing sungai biarpun waktu itu sangat gelap.
“Apabila kami pulang ke rumah pagi esoknya, kami dapati pondok bahagian dapur rumah saya dan penduduk lain rosak dan tumbang,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE