KUANTAN: Terpaksa mandi di kawasan plaza tol Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan masjid berhampiran akibat masalah ketiadaan bekalan air antara pengalaman terpaksa ditempuh Alias Hamzah, 60, dari Bukit Kuin di sini, sepanjang lapan tahun lalu.
Maka bagi dirinya dan penduduk kampung, kesungguhan Kerajaan Pahang dan Persekutuan mengatasi masalah itu dengan melaksanakan projek menaik taraf sistem bekalan air di kawasan itu disambut dengan penuh rasa syukur dan lega.
“Masalah air di Bukit Kuin ini berlarutan sudah lama, tetapi menjadi parah apabila berlaku kejadian paip pecah di Jalan Sungai Riau-Bukit Kuin akibat banjir pada 2014.
“Sejak itu, kampung kami sering berdepan ketiadaan air sehinggakan pernah saya dan keluarga terpaksa pergi ke plaza tol dan masjid berhampiran untuk mandi dan menguruskan diri,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang, semalam.
Semalam, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Sistem Bekalan Air di Bukit Kuin yang menjadi lokasi pertama pelaksanaan 70 projek naik taraf sistem bekalan air di seluruh negeri ini.
Projek menelan belanja RM5.7 juta itu dijadualkan siap menjelang April 2023.
“Terima kasih kepada MB (Wan Rosdy) dan Kerajaan Pahang yang membuktikan komitmen mereka untuk mengatasi masalah ini. Dia (Wan Rosdy) janji, dia buat.
“Kami penduduk faham bukan mudah nak selesaikan masalah ini tetapi yang penting usaha itu ada dan nampaknya akan diselesaikan tak lama lagi,” kata Alias. – HELMY ABD RAHMAN