Oleh Husin Ibrahim
fikrahpahang@gmail.com
BERA: Penubuhan Parti Kuasa Rakyat oleh Kamaruddin Yaakob iaitu abang kepada YAB Perdana Menteri dianggap sebagai perkara biasa di samping mencerminkan keunikan demokrasi di negara ini.
Demikian menurut Dato’ Ismail Sabri Yaakob, yang ditemui selepas beliau menghadiri majlis upacara pemakaian pangkat oleh Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Acryl Sani Abdullah Sani kepada anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, hari ini.
Ismail Sabri yang juga merupakan Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Bera berkata perbezaan parti dan fahaman politik dalam keluarga adalah perkara biasa dan tidak perlu dijadikan isu.
“Sebagai contoh, Tan Sri Shahrir Abdul Samad iaitu mantan Ahli Parlimen Johor Bahru yang mempunyai adik, Khalid Samad yang ketika ini adalah Ahli Parlimen Shah Alam, daripada Parti Keadilan Rakyat,” katanya.
Ismail Sabri berkata, setiap individu mempunyai fahaman dan sasaran perjuangan masing masing yang perlu dihormati.
“Ketika saya Setiausaha Politik kepada bekas Ahli Parlimen Temerloh, Tan Sri Sabaruddin Chik, dan ketika itu saya adalah wakil calon beliau dalam Pilihan Raya Umum 1995. Ketika itu, abang saya tu juga bertanding kerusi Parlimen yang sama (Temerloh) sebagai calon Parti Semangat 46.
“Maknanya sejak dulu lagi kami tidak sehaluan dalam fahaman politik tetapi hubungan kami sebagai adik-beradik tetap baik,” katanya.