Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
RAUB: Seorang warga Pakistan dikenakan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub kerana memasuki kawasan Hutan Simpan tanpa kebenaran pada Isnin lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu terhadap Rawan Bakht, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mahkamah juga mengenakan hukuman penjara lapan bulan, jika pesalah gagal membayar denda.
“Semua barang sitaan iaitu kenderaan Mitsubishi Pajero dilucut hak kepada Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP),” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh (Rawan) didapati bersalah memasuki kawasan hutan di Kompartmen 600 Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis, pada 15 Mac lalu.
Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 47(1)(c), Enakmen (Pemakaian) Perhutanan Negara 1985 [Akta 313] kerana memasuki kawaaan hutan simpan tanpa kebenaran atau permit.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya JPNP, Afidatul Azwa Kamarulanwar
manakala tertuduh tidak diwakili peguam.