Diskaun 40 peratus bayaran balik pinjaman Yayasan Pahang

Diskaun 40 peratus bayaran balik pinjaman Yayasan Pahang

KUANTAN: Sempena ulang tahun 40 penubuhannya, Yayasan Pahang menawarkan diskaun bayaran balik pinjaman sebanyak 40 peratus kepada peminjam.

Berita baik itu dikongsikan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy berkata, diskaun 40 peratus itu akan diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan bayaran secara penuh ke atas baki pinjaman termasuk baki caj-caj lain bermula 1 Ogos hingga 31 Disember 2022.

“Langkah ini satu tanda kerprihatinan Kerajaan Pahang bagi membantu peminjam menyelesaikan baki pinjaman, sekali gus membolehkan lebih ramai lagi anak-anak Pahang berpeluang membuat pinjaman dengan Yayasan Pahang bagi mendapatkan akses pendidikan sempurna serta melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Langkah ini juga dilaksanakan bagi membantu sebahagian besar rakyat termasuk peminjam-peminjam yang terkesan akibat penularan COVID-19 sejak dua tahun lalu selain peningkatan kos sara hidup ketika ini,” katanya.

Beliau turut berharap supaya peminjam memanfaatkan tawaran berkenaan sebaik mungkin, seterusnya menjalani kehidupan lebih baik dan bebas daripada bebanan hutang.

Untuk makluman, pada 2021, Yayasan Pahang pernah menawarkan pemberian diskaun 20 peratus dan sepanjang tempoh itu, seramai 608 peminjam menyelesaikan baki hutang dengan implikasi rebat hampir RM720,000 serta pengurangan pinjaman sebanyak RM3.6 juta.

Sejak penubuhannya pada 1982, sehingga kini, Yayasan Pahang sudah membelanjakan sebanyak RM1.4 bilion untuk pinjaman pendidikan bagi manfaat 1.684 juta orang penerima di seluruh Pahang. – HELMY ABD RAHMAN

#MajuTerusPahang

#Pahang1st

#thisispahang

#KestabilanDemiKemakmuran