Diskaun 50 peratus untuk penyewa premis PBT seluruh Pahang

Diskaun 50 peratus untuk penyewa premis PBT seluruh Pahang

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan negeri menawarkan potongan bayaran ke atas sewa bulanan sehingga 50 peratus ke atas semua premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Pahang. 

Menteri Besar, YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata diskaun itu ditawarkan untuk empat bulan bermula Jun hingga September ini, yang mana akan memberi manfaat kepada 6,237 penyewa, peniaga dan penjaja. 

“Perkara ini dipersetujui pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Rabu lalu. Ia bertujuan meringankan beban penyewa, peniaga dan penjaja susulan kehilangan hasil pendapatan akibat pandemik COVID-19. 

“Contohnya bagi kadar sewa bulanan tertinggi RM9,000 akan menjadi cuma RM4,500 manakala kadar sewa bulanan terendah RM10 (bagi petak-petak penjaja di pasar) menjadi hanya RM5,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pemberian diskaun 50 peratus itu juga bermakna semua PBT di Pahang mengorbankan hasil kutipan bulanan kira-kira RM1.3 juta atau sekitar RM5.2 juta untuk empat bulan tempoh ditawarkan. 

“Inilah pengorbanan besar dilakukan PBT terbabit dan diharapkan, golongan penyewa, peniaga dan penjaja dapat menghargainya. Kerajaan negeri juga berharap pemberian diskaun sehingga 50 peratus ini dapat sedikit sebanyak membantu mereka,” katanya.