KUANTAN: Tawaran pengurangan saman sehingga 50 peratus antara pengisian menarik pada Karnival Belia dan Sukan Pahang 2022 bertempat di Padang Kemunting bermula semalam hingga 17 Julai ini.
Ia membabitkan saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Selain itu, penganjur menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah menarik antaranya Motosikal Yamaha 135LC Fi, basikal berjenama Capriolo Falcaon.
Pelbagai acara menarik meliputi tiga zon utama iaitu di Dewan MBK, tapak parkir terbuka dan di Padang Kemunting antaranya, Fun Run dan Fun Ride, pertunjukan sukan permotoran seperti ‘drifting’, karnival mini E-sukan dan Kejohanan Muay Thai Remaja Terbuka Kebangsaan.
Turut diadakan, futsal padang bersempena sambutan 50 Tahun Jubli Emas Majlis Belia Negeri Pahang dan pertandingan Battle of the Band (kugiran) selain pameran dan peluang kerjaya Y-career yang disertai hampir 30 majikan meliputi syarikat swasta dan agensi di seluruh Pahang.
Sementara itu, kira-kira 5,000 peserta menyertai Fun Run sejauh 5 kilometer (km) mengelilingi bandar raya Kuantan bermula dan berakhir di Padang Kemunting.
Penyertaan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli, tambah memeriahkan acara berkenaan.
Peserta termasuk Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah, dilepaskan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Ti Lian Ker, berkata karnival tiga hari itu menyasarkan kunjungan sekurang-kurangnya 10,000 orang.
“Karnival siri kedua ini dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Kerajaan Negeri Pahang dengan kerjasama MBK dan Pertubuhan Sejahtera Anak Malaysia (PERSAMA) bagi zon pantai timur.
“Ia diadakan sempena Sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat kebangsaan dan kita menyasarkan kunjungan sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung,” katanya. – MUSTAFFA KAMAL