Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Tertarik dengan iklan jualan kereta dengan harga murah dan secara sambung bayar di Facebook menyebabkan lelaki berusia 22 tahun berputih mata.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa tertarik dengan iklan jualan Myvi RM4,500 dan sambung bayar pinjaman bank setahun, pada 10 Julai lalu.
“Mangsa yang menetap di Balok berhasrat membeli kereta berkenaan untuk dihantar ke kampung halamannya di Keningau, Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, mangsa kemudian menghubungi pemilik akaun di laman Facebook melalui aplikasi Whatsapp dan bersetuju untuk membeli kereta itu.
“Pada 11 Julai lalu, mangsa membuat pembayaran RM3,500 melalui transaksi di mesin pengeluaran wang (ATM) ke akaun bank isteri suspek.
“Sejam kemudian, mangsa membuat sekali lagi transaksi RM2,000 apabila suspek memberitahu transaksi pertama tersekat dan wang terbabit hanya akan masuk ke akaun selepas tiga hari.
“Keesokannya, suspek meminta mangsa membayar RM1,000 kerana dikatakan isterinya tidak berpuas hati. Mangsa bersetuju membayar jumlah itu,” katanya.
Mohd Wazir berkata, pada 30 Julai, mangsa menerima mesej melalui Whatsapp dari seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pemilik kedai motor di Kota Kinabalu, Sabah.
“Lelaki terbabit memaklumkan penjual kereta (suspek) telah dijangkiti COVID-19 dan perlu dikuarantin dan dia diamanahkan untuk menguruskan penghantaran Myvi berkenaan ke kampung halaman mangsa.
“Kemudian mangsa diminta untuk membayar bayaran bulanan RM1,008 selain pelbagai bayaran lain bagi khidmat penghantaran kereta berkenaan menyebabkan mangsa mula sangsi,” katanya.
Katanya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Beserah kerana berasa tertipu dengan urusan pembelian kereta berkenaan.