Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Seorang penuntut kolej berusia 21 tahun menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud sehingga menyebabkan dia kerugian RM10,960.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa tertarik dan berminat untuk melabur selepas diperkenalkan rakannya bernama Yasser Raffque Khan Majith Khan mengenai perolehan berganda sekiranya melabur.
Katanya, bermula pada 28 Mei hingga Isnin lalu mangsa telah membuat tujuh transaksi memasukkan wang berjumlah sebanyak RM10,960 ke dalam akuan syarikat pelaburan yang diperkenalkan rakannya itu.
“Selepas itu mangsa menghubungi rakannya memaklumkan wang sudah dimasukkan dan namun diberitahu akaun berkenaan telah disekat pihak bank.
“Mangsa kemudian menghubungi semula rakannya namun panggilan itu telah disekat. Berasakan dia ditipu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, petang semalam,” katanya.
Mohd Wazir menjelaskan, modus operandi yang digunakan adalah menawarkan ganjaran berlipat ganda dalam pelaburan tidak wujud untuk memperdaya mangsa .
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesalahan ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun selain sebatan dan denda,” katanya.