Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
pic sumber Facebook
KUANTAN: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Begitulah beratnya dugaan menimpa kanak-kanak berusia 11 tahun, Muhammad Firas Iqbal Shayfullah yang bakal menjalani pembedahan kedua akibat penyakit barah otak yang ditanggungnya.
Berasal dari Kampung Balok Permai, di sini, kanak-kanak itu dijadualkan menjalani pembedahan kedua bagi membuang ketumbuhan di kepalanya di Hospital Kuala Lumpur, esok.
Bapa kepada kanak-kanak berkenaan, Shayfullah Muhamad, 52, berkata anaknya disahkan menghidap penyakit itu pada pertengahan bulan lalu dan telah menjalani pembedahan pertama untuk membuang cecair dalam kepalanya pada 18 Ogos lalu.
Menurutnya, anaknya yang juga murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Chengal Lempung, di sini, mula menunjukkan simptom sakit kepala dan muntah pada Jun lalu namun dia sekeluarga menyangkakan ia hanya sakit biasa.
“Awalnya saya sangkakan dia sakit kepala dan muntah kerana menatap skrin terlalu lama ketika kelas atas talian, sebab dia cuma tunjukkan simptom itu selepas sesi PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah).
“Bagaimanapun keadaannya tambah teruk apabila semakin kerap sakit kepala dan muntah, malah pernah muntah sebanyak 11 kali dalam satu malam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Shayfullah berkata, dia segera membawa anaknya itu ke Klinik Kesihatan Balok, di sini, untuk pemeriksaan, sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
“Selepas menjalani beberapa ujian kesihatan di HTAA, kami terkejut apabila doktor sahkan anak saya ada ketumbuhan otak dan hampir ke tahap empat,” katanya.
“Kami dimaklumkan barah itu sudah merebak ke saraf tunjang dan dia mungkin perlu jalani pembedahan lagi selepas ini bergantung kepada perkembangannya selepas rawatan kemoterapi dan radioterapi,” katanya.
Tambahnya, dia sekeluarga lega apabila dimaklumkan tidak perlu membayar kos untuk pembedahan itu kerana ia ditanggung sepenuhnya pihak hospital.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang ingin menghulurkan sumbangan sebelum ini,” katanya.
Pun begitu, katanya, dia tidak tahu apa keperluan untuk anaknya selepas dan mengakui tiada sumber pendapatan selepas pekerjaannya sebagai tukang perabot terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).