Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic/video Mohd Imran Izzad
KUANTAN: Minat dalam bidang pertanian mendorong seorang doktor gigi mengusahakan tanaman terung mini F1 323 menggunakan teknik fertigasi di Felda Bukit Sagu Satu, dekat sini.
Projek perintis itu membabitkan penanaman 2,000 pokok yang mula diusahakan akhir tahun lalu dan kini sudah mula mengeluarkan hasil memuaskan apabila setiap minggu tujuh tan buah dapat dikeluarkan.
Menurut Dr Amin Fauzi Abdul Halim, 32, tanpa pengalaman dalam bidang pertanian tidak bermakna dia tidak boleh terbabit dalam projek pengeluaran makanan itu.
Menurutnya, berbekalkan modal sebanyak RM30,000 dia menyediakan semua peralatan diperlukan seperti sistem paip, tangki baja dan pondok simpanan termasuk bilik tempat tinggal.
Katanya, sebagai doktor dia perlu bijak membahagikan masa antara tugas hakiki sebagai doktor gigi di klinik gigi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan dengan kebun sayur yang diusahakan bagi menjana pendapatan tambahan.
“Untuk menguruskan kebun diusahakan ini, rakan saya yang juga bekas penuntut UIAM kampus Kuantan banyak membantu dan bagi menambah ilmu pengetahuan berkaitan tanaman sayur dia mengikuti kursus jangka pendek di Johor sebelum ini.
“Selepas kira-kira 45 hari mengusahakan tanaman terung mini, saya kini sudah mula menuai hasil yang memuaskan. Seminggu tujuh tan buah dapat dijual kepada pemborong.
“Saya seolah-olah tidak percaya dengan yang diraih seterusnya mampu menjual terung mini dengan harga RM7 sekilogram bagi gred A dan RM3 bagi gred B,” katanya, di sini semalam.
Beliau berkata, harga pasaran terung yang memuaskan menambahkan lagi semangatnya untuk terus mengusahakan projek pertanian berskala besar selepas ini dan bercadang menanam cili besar dan kolam ikan pertengahan tahun ini.
Dr Amin Fauzi berkata, sesibuk mana tugas sebagai doktor gigi, beliau tetap akan meluangkan masa antara satu hingga dua jam sehari di kebun melakukan pelbagai kerja yang diperlukan.
Tambahnya, aktiviti kebun seperti menanam, memungut hasil dan memangkas dilakukan sepenuhnya oleh rakan kongsinya, Shahrain Suhaimi, 32, manakala pengurusan jualan dan kewangan beliau yang uruskan.
Katanya, projek tanaman terung mini yang diusahakan ini mendapat sokongan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Bukit Sagu Satu, pengurusan Felda dan Pejabat Pertanian daerah Kuantan yang sentiasa memantau kemajuan dicapai.
“Saya berpuas hati projek tanaman terung mini yang diusahakan apabila ia turut dapat membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia tempatan selain menjadikan tanah terbiar sebagai tapak meraih pendapatan walaupun sebelum ini ada pihak tidak yakin dengan projek yang akan diusahakan.
“Saya ingin merebut peluang yang terhidang bukan sahaja untuk keuntungan peribadi tetapi lebih penting dapat dikongsi dengan pihak lain terutama masyarakat setempat,” katanya yang ingin menjadikan Felda Bukit Sagu Satu sebagai hab pengeluaran hasil sayuran utama di negeri ini.
Katanya, banyak tanah terbiar di kawasan Felda yang boleh dimajukan dan peluang berkenaan perlu digunakan sepenuhnya oleh generasi muda terutama mereka yang masih mencari pekerjaan kerana projek pertanian menjanjikan pendapatan lumayan.
Dr Amin Fauzi berkata, perasaan malu dan memilih kerja tidak seharusnya ada dalam diri golongan belia kerana kelulusan akademik yang tinggi bukan jaminan untuk meraih pendapatan lumayan.