Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
LIPIS: Perjalanan kira-kira 50 kilometer (km) dengan 4WD antara cabaran petugas kesihatan untuk sampai ke desa Orang Asli bagi menjayakan Program Outreach Vaksinasi (POV) COVID-19.
Perjalanan sekurang-kurangnya tiga jam itu begitu mencabar, apatah lagi perlu menggunakan jalan balak dengan bentuk muka bumi berbukit-bukau.
Bagaimanapun, cabaran itu tidak melunturkan semangat 20 petugas terdiri daripada jururawat, pegawai kesihatan dan doktor.
Bagi Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Sungai Koyan, Dr Rafidah Mahmud, semangat yang menebal dan keyakinan pada diri perlu ada bagi menempuh misi sedemikian.
Beliau yang juga pegawai rujukan POV daerah ini, berkata semua halangan perlu dihadapi dengan sabar agar misi memberi vaksin COVID-19 kepada Orang Asli di pedalaman dapat dicapai.
“Walaupun jauh, tanggungjawab dan amanah perlu ditunaikan,” katanya.
Beliau ditemui pada POV di Kampung Meter di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi.
Dua puluh petugas kesihatan, termasuk jururawat, pegawai kesihatan dan doktor dari Klinik Kesihatan Sungai Koyan, terbabit dalam program itu.
Program yang bermula 16 Jun lalu memerlukan mereka menjelajah kesemua desa Orang Asli di daerah ini.
Dr Rafidah berkata, rombongan mereka akan bertolak pagi dan balik lewat petang setiap kali ke pedalaman.
Sementara itu, jururawat, Shahira Mohd Basri, berkata penat anggota badan menempuh perjalanan jauh hilang apabila melihat ramai Orang Asli menunggu bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
“Masyarakat Orang Asli di daerah ini menerima vaksin Sinovac yang disediakan kerajaan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Kerjasama yang diberikan masyarakat Orang Asli amat baik sekali dan memudahkan pelaksanaan POV di daerah ini,” katanya.