Dollah bangga komitmen pemain

Dollah bangga komitmen pemain

DATO’ Dollah Salleh bangga dengan pencapaian Sri Pahang FC selepas menewaskan PJ City 3-0 di Stadium MBPJ, semalam. 

Lebih manis, kemenangan itu juga adalah kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC (2-0) dan Selangor FC (2-0).

Bagi ketua jurulatih Tok Gajah itu, komitmen tinggi yang dipersembahkan membantu skuad itu melakar kemenangan buat kali ketiga berturut-turut.

“Saya juga berpuas hati kerana tiga perlawanan ini juga menyaksikan gawang Sri Pahang tidak dibolosi.

“Saya harap pada perlawanan selepas ini, pemain terutama di bahagian pertahanan dapat mengekalkan prestasi ini.

“Segala perancangan dapat diterjemahkan semua pemain hingga membantu Sri Pahang melonjakkan kedudukan keenam Liga Super,” katanya.

Pada perlawanan itu, tiga gol Sri Pahang, masing-masing dijaringkan oleh Abdul MalikĀ  Mat Ariff, Steven Rodriguez dan Manuel Hidalgo pada minit ke-27, m-45 dan m-90. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN