Oleh Muhammad Izz Zahin
BIARPUN tewas 0-3, di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, malam tadi, Dollah Salleh tetap bangga dengan komitmen pemain Sri Pahang FC.
Lebih-lebih lagi, ketua jurulatih Sri Pahang itu mempertaruhkan pemain simpanan dan Piala Presiden Pahang selepas kehilangan enam tonggak utama akibat kecederaan dan penggantungan. “Biarpun gagal menyekat JDT daripada mencatat kemenangan, saya tak sangka pemain yang diberi tanggungjawab dapat menyaingi pemain JDT,” katanya.
Mengulas kekalahan itu, Dollah mengakui pengalaman antara faktor skuadnya gagal untuk menyekat tuan rumah terutama pada separuh masa pertama. “Namun, pada babak kedua, pemain berjaya mengawal permainan dan turut memiliki peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal dimanfaatkan,” katanya.
Pada perlawanan malam tadi, Sri Pahang tidak dapat menyenaraikan kapten, Muslim Ahmad, Nor Azam Azih, Zuhair Aizat Mohd Nazri, Helmi Eliza Elias dan Zarif Irfan Hashimuddin yang mengalami kecederaan manakala Herold Goulon pula digantung satu perlawanan.