KEKALAHAN 1-2 Sri Pahang FC kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 21 Ogos lalu, bukan prestasi sebenar skuad itu.
Ketua jurulatihnya, Dato’ Dollah Salleh berkata, bermain secara bertahan dan terlalu mengikut rentak permainan lawan menyebabkan misi kemenangan terlepas di halaman sendiri.
Katanya, serba-serbi tidak menjadi walaupun sudah menjaringkan gol pendahuluan sebelum lawan bangkit dengan dua gol.
“Saya kecewa dengan keputusan ini kerana gagal mempertahankan kedudukan 1-0 menyebabkan TFC membawa pulang tiga mata.
“Memang pemain cuba bangkit tetapi TFC diakui lebih bagus dengan menampilkan permainan yang baik berbanding Sri Pahang,” katanya.
Pada perlawanan itu, gol tunggal Sri Pahang dijaringkan oleh pemain Argentina, Manuel Hidalgo pada minit ke-46 sebelum TFC bangkit dengan dua gol, daripada Habib Haroon dan Petrus Shitembi m-72 dan m-87.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN