Dollah lega jadual tidak padat di hujung liga

Dollah lega jadual tidak padat di hujung liga

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh menghargai usaha Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memastikan saingan Liga Super kembali bersambung seperti dijadualkan pada 24 Julai ini.

Selain menyambut baik jadual baru itu, beliau lega jadual bagi setiap perlawanan terutama empat perlawanan terakhir liga itu tidak terlalu padat.

“Saya berpuas hati dengan jadual baharu Liga Super membabitkan empat perlawanan terakhir ini kerana sekurang-kurangnya dapat memberi ruang kepada pemain pulihkan kecergasan masing-masing.

“Apatah lagi beberapa aksi terakhir ini cukup penting bagi menentukan kedudukan liga musim ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook Sri Pahang FC, hari ini.

Dollah berkata, selepas latihan berpusat atau ‘camp based training’, fokusnya terutama pemain adalah 100 peratus bertumpu kepada aksi pertemuan dnegan Melaka United iaitu aksi pertama sebaik liga bersambung nanti.

“Kita tahu bukan senang untuk memastikan liga tetap berjalan dan saya hargai apa yang diusahakan oleh MFL agar kita semua terus beraksi dan yang penting adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat,” katanya.

Saingan Liga Malaysia (liga M) musim ini berehat hampir dua bulan bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan beraksi di pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.