Dollah masih belum cemas

Dollah masih belum cemas

Oleh Muhammad Izz Zahin 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh belum lagi cemas walaupun skuadnya kalah 0-2, di tangan Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Sebaliknya, bekas pemain kebangsaan itu percaya anak buahnya pasti bangkit pada baki lima perlawanan Liga Super selepas ini. 

Justeru, katanya, perkara utama yang perlu dilakukan ialah memastikan skuad Tok Gajah tidak keciciran mata kerana dikhuatiri akan tergelincir ke dalam zon penyingkiran. 

“Saya harap pada perlawanan selepas ini pemain dapat kembali beraksi pada prestasi terbaik mereka selepas gagal menyekat TFC daripada mengutip tiga mata,” katanya.

Dollah mengakui skuad bimbingannya tidak berada pada tahap terbaik dan kurang bermaya pada pertemuan dengan TFC. 

Katanya, situasi itu menyebabkan corak permainan kurang menjadi sehinggakan tuan rumah berjaya mendapatkan dua gol mudah atas kesilapan yang dilakukan. 

Selepas 17 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan kesembilan dengan mengutip 17 mata.