BEKAS pemain kebangsaan, Dollah Salleh kekal bersama Sri Pahang FC musim 2022 selepas dilantik sebagai pengurus pasukan itu.
Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran Facebook rasmi Sri Pahang FC (SPFC), semalam.
SPFC turut mengumumkan Dollah akan dibantu Dato’ Che Nasir Salleh sebagai penolong pengurus.
Awal musim lalu, Dollah dilantik sebagai pengurus pasukan dan mengambil tanggungjawab sebagai ketua jurulatih daripada Thomas Dooley selepas dua perlawanan sehingga berakhir musim.
Sementara itu, Ahmad Yusof dan Ahmad Shaharuddin Rosdi pula akan bertindak sebagai penolong jurulatih kepada Christophe Gamel yang dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Sri Pahang.
Ahmad pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih bersama beberapa pasukan Liga Super sebelum menyertai Sri Pahang sebagai penolong jurulatih pada 2020.
Ahmad Shaharuddin pula sudah berada dalam barisan kejurulatihan Sri Pahang sama ada sebagai ketua jurulatih dan penolong sejak 2010.
Oleh itu, mereka diyakini dapat bekerjasama erat bersama Gamel dan memanfaatkan pengalaman masing-masing untuk melonjakkan semula prestasi Sri Pahang.
Turut menyertai barisan kejurulatihan Sri Pahang musim baharu ialah Rais Dermawan Kamarudin yang sebelum ini berkhidmat bersama skuad Piala Presiden yang akan bertindak sebagai jurulatih penjaga gol.
Bekas kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar pula kembali ke dalam skuad Tok Gajah sebagai pegawai tadbir pasukan.
Dato’ Mohammed Suffian Awang kekal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab berkenaan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN