DOLLAH Salleh menyerahkan kepada Sri Pahang FC (SPFC) sama ada khidmatnya hendak kekalkan untuk membimbing skuad itu bagi saingan Liga Malaysia musim depan.
Beliau berkata, segalanya diserahkan kepada pengurusan kelab dan dirinya sedia menerima keputusan mengenai masa depannya selepas ini.
Namun, katanya, sekiranya masih diberikan kepercayaan kekal bersama pasukan, beliau meminta pengurusan memberikan sepenuhnya kepada jurulatih dalam soal pemilihan pemain.
“Bagi saya jurulatih lebih berpengalaman memilih pemain dan jika masih mengharapkan pengurusan, mungkin jurulatih tidak sesuai dengan pemain.
“Jika jurulatih yang membuat pilihan sendiri, apa-apa yang berlaku kepada pasukan adalah kesilapan jurulatih,” kata bekas pemain kebangsaan itu.
Dalam saingan Liga Malaysia musim ini, Sri Pahang menamatkan kedudukan di tangga ke-10 Liga Super manakala saingan Piala Malaysia pula hanya sekadar beraksi di peringkat kumpulan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN