KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Dato’ Dollah Salleh lega apabila skuad itu kembali merekodkan kemenangan selepas menewaskan Sarawak United 4-1, di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan itu juga memadam dua kekalahan di tangan Terengganu FC (TFC) 1-2 dan Kuala Lumpur City FC (0-2).
“Saya gembira kerana pemain dapat beraksi baik terutama berjaya memanfaatkan segala peluang yang dimiliki.
“Perlawanan malam ini (malam tadi) juga sebagai persediaan awal menghadapi kempen Piala Malaysia.
“Namun, keutamaan ialah untuk terus menambah mata pada tiga baki perlawanan saingan Liga Super selepas ini,” katanya.
Pada perlawanan itu, empat gol skuad Tok Gajah, masing-masing dua gol dijaringkan oleh Steven Rodriguez pada minit ke-58 dan m-78 manakala satu gol lagi oleh David Rowley dan Zuhair Aizat Nazri m-37 dan m-90.
Gol tunggal Sarawak United pula dijaringkan Zahrul Nizwan Joe Kifli pada m-45. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN