BEKAS penolong jurulatih Sri Pahang FC musim ini, Christophe Gamel dikhabarkan bakal menggantikan Dollah Salleh bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2022.
Menurut sumber-sumber, Gamel yang berasal dari Perancis itu adalah calon tunggal yang berkemungkinan besar melatih skuad Tok Gajah.
“Sehingga ini, hanya Gamel yang menjadi pilihan pengurusan tertinggi Sri Pahang. Tetapi, belum ada keputusan muktamad. Namun, Sri Pahang juga masih memerlukan khidmat Dollah yang dikatakan bakal bertindak sebagai pengurus pasukan,” katanya.
Sehingga ini, Sri Pahang sudah mengesahkan 14 pemain, termasuk lima import yang beraksi musim ini tidak lagi menyarung jersi kelab itu bagi mengharungi Liga M, musim depan.
Mereka adalah kapten pasukan musim ini, Muslim Ahmad, Helmi Eliza Elias, Faisal Rosli, Fazly Mazlan, Zazrir Naim, Ezanie Salleh, Arisazri Juhari, Hazri Rozali dan Faizal Rani.
Turut tidak bersama skuad Tok Gajah adalah lima import iaitu Herold Goulon, Abubakar Yakubu, Kenny Athiu, Manuel Hidalgo dan Aung Kaung Mann.
Berdasarkan pencapaian Sri Pahang musim ini, skuad itu gagal menyerlah apabila menduduki tempat ke-10 dalam Liga Super manakala sekadar beraksi di peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN