Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@gmail.com
KETUA jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh, menjelaskan bahawa corak permainan individu menyekat misi kebangkitan selepas tewas 0-1, kepada Sarawak United pada perlawanan kedua Piala Malaysia di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, sikap sebegitu menyebabkan tiada persefahaman seperti yang dipersembahkan ketika kecundang 1-3 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC, minggu lalu.
“Saya sememangnya kecewa dengan keputusan ini (malam tadi) kerana mereka bermain secara individu dan lambat bertindak apabila kehilangan bola.
“Segala pergerakan juga mudah dipatahkan lawan terutama daripada bahagian tengah kepada serangan.
“Sebenarnya, dalam permainan bola sepak ini, jika tidak menjaringkan gol dan bola hanya di bahagian tengah, kita akan menerima padah,” katanya.
Berikutan dua kekalahan itu, Sri Pahang kini menghuni tempat tercorot dalam Kumpulan A tanpa sebarang mata.