Dollah puji ketangkasan Daniel Wafiuddin

Dollah puji ketangkasan Daniel Wafiuddin

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KETANGKASAN dan ketenangan dipersembahkan penjaga gol ketiga Sri Pahang FC, Daniel Wafiuddin Sa’dun mendapat pujian Dollah Salleh.

Ketua jurulatih pasukan itu berkata, prestasi pemain berumur 24 tahun itu banyak membantu untuk mengelakkan Sri Pahang tewas dengan jaringan lebih besar.

Katanya, walaupun kali pertama beraksi dalam saingan Liga Super musim ini, Daniel Wafiuddin banyak menyelamatkan keadaan.

“Saya bangga dengan Daniel kerana sudah sekian lama sebagai penjaga gol ketiga pasukan.

“Namun, Daniel pada perlawanan kelmarin, dia banyak membantu menyelamatkan pasukan daripada dibolosi lebih banyak gol,” katanya di Kuantan, hari ini.

Pada perlawanan kelmarin, skuad Tok Gajah menyandarkan harapan kepada Daniel Wafiuddin selepas penjaga gol utama dan kedua, Helmi Eliza Elias dan Zarif Irfan Hashimuddin mengalami kecederaan.

Biarpun Sri pahang tewas 0-2 di tangan Kuala Lumpur City FC, penjaga gol muda itu mempamerkan aksi cemerlang dengan menyelamatkan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat pasukan lawan.