Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PERASAAN terkilan tidak dapat disembunyikan ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh selepas skuadnya terikat 2-2 berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC, malam tadi.
Dollah berkata, seri meletakkan kedudukan skuad Tok Gajah belum lagi selamat untuk kekal berada dalam Liga Super musim depan.
Justeru, katanya, baki dua perlawanan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan Sri Pahang memperbaiki kedudukan lebih baik.
“Jika dilihat kepada persembahan keseluruhan, prestasi pasukan serba tidak menjadi kerana tidak banyak mencipta peluang untuk menjaringkan gol.
“Pada masa sama, corak persembahan lebih bergantung kepada permainan individu berbanding sebagai satu pasukan.
“Saya lihat dalam kotak penalti hanya ada seorang pemain untuk berdepan dengan empat pemain lawan yang sudah pasti menyukarkan untuk menjaringkan gol,” katanya.
Selepas 20 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan kesembilan liga dengan mengutip 18 mata.