PEKAN: Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin dilantik sebagai Naib Canselor UMP kelima berkuat kuasa, hari ini.
Dr Yuserrie, 60, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial daripada Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum menyambung pengajian dalam bidang Perdagangan di University of Wollongong, Australia pada 1992.
Beliau juga memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1997.
Dr Yuserrie yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP sejak 29 Ogos 2021, juga mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan apabila 11 tahun menjawat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Beliau yang mula berkhidmat di UMP pada 2009 juga pernah memegang jawatan sebagai Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) pada 2010.
“Saya mengharapkan warga UMP dapat bersama-sama menjalankan aktiviti yang dirancangkan untuk memastikan Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP 25) dapat dilaksanakan dan dicapai dengan baik,” katanya ketika hadir di Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan, di sini, hari ini.
Ketibaan beliau disambut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Kamal Zuhairi Zamli; Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Hazmin Aris dan Bendahari, Zainuddin Othman. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN