Draf Rancangan Kawasan Khas Tasik Chini (Pengubahan) siap

Draf Rancangan Kawasan Khas Tasik Chini (Pengubahan) siap

KUANTAN: Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tasik Chini (Pengubahan) kini sudah siap.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia selaras dengan peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) serta cadangan mengadakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam pada Oktober tahun ini.

“Kerajaan Pahang menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri yang bersidang hari ini (13 September 2022), dimaklumkan mengenai Draf RKK Tasik Chini (Pengubahan) yang sudah siap disediakan. 

“Menerusi Draf RKK Tasik Chini (Pengubahan) ini, beberapa perkara utama diambil kira, iaitu cadangan pengubahsuaian sempadan baharu Rizab Biosfera Tasik Chini daripada 6,951.44 hektar kepada 9,142.62 hektar.

“Kajian RKK Tasik Chini (Pengubahan) ini adalah seluas 55,586.12 hektar iaitu mengambilkira ‘threshold area’ (kawasan nilai ambang) dan ia selaras dengan pewartaan baharu Hutan Simpan Kekal (HSK) Chini berkeluasan 6,502.8 hektar di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kajian juga mengambil kira rangkaian ekologi Central Forest Spine (CFS).

“Draf RKK Tasik Chini ini adalah dengan Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 dan Enakmen Biodiversiti Negeri Pahang.

“Zon Rizab Biosfera Tasik Chini meliputi Zon Utama (Core Zone), Zon Penampan (Buffer Zone) dan Zon Peralihan (Transition Zone), mengikut keperluan UNESCO, manakala kawasan threshold dinamakan sebagai Zon Pinggiran Biosfera,” katanya.

Tambahnya, perkara utama lain yang diambil kira ialah membabitkan cadangan pengubahsuaian strategi pengurusan alam sekitar dengan penambahbaikan kepada Pelan Sensitif Alam Sekitar dan cadangan pengubahsuaian pengurusan dan pelaksanaan.

“Saya berharap Draf RKK Tasik Chini (Pengubahan) ini akan menjadi panduan kepada kerajaan negeri dan juga pihak berkuasa tempatan supaya setiap pembangunan di Tasik Chini dilaksanakan tanpa menjejaskan kelestarian khazanah alam,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN