Dua beradik ungguli kejohanan luncur ombak

Dua beradik ungguli kejohanan luncur ombak

KUANTAN: Dua beradik menyapu bersih empat kategori utama dalam kejohanan luncur ombak ‘Cherating Surf Festival 2022’ di Pantai Cherating dekat sini, semalam.

Didaqt Musaddiq, 28, mengungguli kategori men short board dan men long board, manakala adiknya, Qadeja, 21, dari menjuarai kategori women short board serta women long board.

Kehebatan dua beradik dari Chrating itu sememangnya dijangka apatah lagi masing-masing bermula sejak kecil dalam sukan luncur ombak.

Malah, Didaqt terpilih untuk membawa cabaran Malaysia dalam sukan ekstrem itu di kejohanan Sukan SEA di Filipina pada 2019.

“Saya mula ‘surfing’ (meluncur) sejak berusia lapan tahun manakala adik (Qadeja) sejak usia tujuh tahun.

“Kami mula minat dalam sukan ini apabila sering diajak bermian luncur ombak oleh ramai pelancong dari luar negara yang menginap di rumah tumpangan milik keluarga di Cherating,” katanya kepada Fikrah Pahang, semalam.

Menurutnya, dia pernah beberapa kali menaiki podium dalam pelbagai pertandingan luncur ombak di peringkat antarabangsa antaranya REnextop Asian Surfing Tour di Cherating (tempat ketiga) dan kejohanan di India beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Qadeja berkata, dia bukan sahaja gembira malah berbangga dengan pencapaian bersama abangnya itu.

“Memang gembira sangat dapat harumkan nama keluarga,” katanya.

Cherating Surf Festival 2022 adalah acara sukan luncur ombak pertama dianjurkan Cherating Surf Club dan acara ketiga dalam kalendar pelancongan Pahang.

Festival itu mendapat sokongan dan tajaan antaranya daripada Tourism Pahang, Persatuan Luncur Ombak Malaysia dan Rip Curl serta menarik penyertaan 126 peserta dari seluruh Malaysia.

Antara pemenang lain adalah Anil Iskandar Nazri bagi kategori grommet (muda), Mohd Nazrin Nasaruddin (best trick) dan Muhammad Faris Nazran Nazri (best wipeout). – HELMY ABD RAHMAN