KUANTAN: Pahang muncul negeri pertama memiliki bot jenis amfibia apabila membeli dua unit kenderaan itu dengan kos RM1.8 juta.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bot berkenaan diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang bagi menjalankan aktiviti menyelamat terutamanya ketika musim tengkujuh.
Beliau berkata, bot jenis Sealegs buatan New Zealand itu mampu memuatkan lapan orang.
“Setiap bot bernilai RM900,000 dan akan ditempatkan di depoh APM Pahang bagi tugasan kegunaan menyelamat.
“Insya-Allah akan datang jika ada keperluan, kerajaan akan menambah pembelian bot dan keperluan lain,” kataya melalui satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Menurutnya, pembelian bot itu sebahagian daripada peruntukan disediakan kerajaan negeri sebanyak RM47 juta tahun lalu untuk menghadapi bencana banjir.
“Peruntukan ini termasuklah pembelian aset, tapak pendaratan helikopter, penyediaan sistem pengesanan pergerakan tanah dan juga membina Pusat Pemindahan Kekal (PPK).
“Ini adalah salah satu usaha kita bagi pengurusan tadbir urus yang cekap dan efisien dalam menghadapi krisis banjir,” katanya. – KHALEEF FITRI