Dua individu rugi lebih RM35,000 ditipu kerja sambilan

Dua individu rugi lebih RM35,000 ditipu kerja sambilan

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Hasrat dua individu meraih pendapatan sampingan melalui kerja sambilan bukan sahaja tidak kesampaian malah mereka terpaksa pula menanggung kerugian sehingga RM35,988 apabila ditipu dengan tawaran pekerjaan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata dalam kejadian pertama, mangsa adalah wanita berusia 41 tahun dari Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Balok Baru, di sini.

“Mangsa ditawarkan kerja sambilan menguntungkan dengan komisen 10 peratus daripada setiap pembayaran yang dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, bermula 22 Ogos lalu, mangsa menerima dua tugasan daripada suspek dan menerima komisen berserta wang bayaran. 

“Selepas itu, mangsa menerima 12 tugasan dan membuat bayaran sebanyak 12 transaksi berjumlah RM24,291 ke tiga akaun berbeza namun masih tidak menerima sebarang komisen malah wangnya juga tidak dikembalikan.

“Sebaliknya suspek meminta mangsa membayar RM3,000 sebagai wang proses untuk mendapatkan semula wangnya. 

“Mangsa berasa tertipu dan telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Katanya, kes kedua pula membabitkan pembantu kedai berusia 24 tahun dari Gambang, di sini, yang ditipu dengan modus operandi hampir sama sehingga kerugian RM11,697.

“Kedua-dua kes berkenaan masih dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan menawarkan kerja sambilan tidak wujud sehingga mangsa mengalami kerugian,” katanya.