Dua kaki pancing terapung tiga jam di laut

Dua kaki pancing terapung tiga jam di laut

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Dua pemancing cemas apabila bot gentian kaca yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin di tengah laut kira-kira 20 batu nautika timur Gebeng, di sini, petang semalam.

Mangsa, masing-masing berusia 37 dan 47 tahun itu terapung di tengah laut hampir tiga jam sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pada kira-kira 9 malam.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Amran Daud, berkata bot ronda segera dihantar ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebaik menerima laporan daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan. 

“Selepas ditemui, mangsa dipindahkan ke bot Kilat, manakala bot yang rosak itu ditunda ke jeti Sungai Ular,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, menurut mangsa, Nik Akram Nik Ahmad, 37,  enjin bot dinaiki bersama rakan itu tiba-tiba tidak dapat dihidupkan dan dia terus menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan.