Dua lagi PKRC dibuka di Kuantan mulai esok

Dua lagi PKRC dibuka di Kuantan mulai esok

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Kerajaan negeri akan membuka dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di daerah ini sebagai persediaan menangani peningkatan jumlah pandemik berkenaan yang semakin mengganas sejak awal bulan ini.

  Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, langkah itu diharapkan dapat memastikan sistem kesihatan tidak lumpuh seandainya berlaku pertambahan kes positif COVID-19 di negeri ini. 

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman

  “Kita jangkakan PKRC di KUIPSAS (Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah) boleh beroperasi sepenuhnya esok dan satu lagi di Kompleks Sukan UMP (Universiti Malaysia Pahang) Kampus Gambang yang sedang dalam proses disiapkan dan dijangka boleh mula digunakan dalam dua atau tiga hari lagi. 

  “Pembukaan PKRC di KUIPSAS ini menjadikan jumlah PKRC beroperasi di Pahang kepada empat PKRC, selepas kita menggunakan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKMM) dam Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) di Kuantan serta Institut Latihan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (i-KPKT) di Bentong sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 

Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS)

  Menurutnya, PKRC di KUIPSAS mampu memuatkan 200 pesakit berisiko rendah dan jumlah pesakit yang boleh ditempatkan di PKRC Kompleks Sukan UMP pula akan dimaklumkan selepas semua persiapan teknikal membabitkan susun atur katil selesai dilakukan. 

Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP)

  “Pertambahan PKRC di Pahang bukanlah bermaksud situasi penularan COVID-19 berada pada tahap membimbangkan, sebaliknya pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri hanya mengambil langkah awal untuk memastikan tidak berlaku situasi kelam-kabut. 

  “Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri sedang melakukan yang terbaik dan kita berharap semua pihak dapat memberi kerjasama, terutama mematuhi semua SOP (prosedur operasi standard) yang sudah ditetapkan,” katanya.