Dua lori nombor pendaftaran sama disita

Dua lori nombor pendaftaran sama disita

KUANTAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita dua lori yang menggunakan nombor pendaftaran yang sama dalam Operasi Khas Kenderaan Cameron Highlands, semalam.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin, berkata pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan itu menggunakan tanda badan milik syarikat sama.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap dua pemandu kenderaan terbabit mendapati mereka warga asing dan tidak memiliki lesen memandu.

“Kita telah menyita dua lori terbabit untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Dua warga asing itu dikenakan saman mengikut APJ 1987 dan Keadah-kaedah Pengangkutan Jalan,” katanya, di sini hari ini.

Kamarul Iskandar menambah, pihaknya mengeluarkan sebanyak 275 notis atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan. – MOHD IMRAN IZZAD